Thursday, June 25, 2009

DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Latarbelakang

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran
di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa
mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk
mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak
negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan
(Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan
dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan
ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan
Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.

Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam
tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan
tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat
untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan
berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang
terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan
Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Rasional

Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa
mengambilkira kepada keperluan pembangunan, pembentukan
identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan
berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang
dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan
suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini
mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi
apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi
sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal
satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara
yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Objektif

Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta
Pelajaran, 1961, iaitu:

"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan
dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu
sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara
dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi,
dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi
dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan
berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman
Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan
kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga
kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan
Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi
apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya
ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan
diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini
dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat
yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.


Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskankepada hasrat
serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-
baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan
yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang
boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan
kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini
menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.


Strategi Pelaksanaan


Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat
Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar
yang utama;

(b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan
Malaysia bagi semua jenis sekolah;

(c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;

(d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;

(e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan
menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan
bersepadu;

(f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan
tahun;

(g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu
dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi
perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik
dan kawasan luar bandar atau pendalaman;

(h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca,
menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada
kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun
1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk
melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai
moral serta nilai etika yang kukuh;

(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui
penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada
tahun 1978;

(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di
peringkat universiti terutama dalam bidang sastera
gunaan dan sains gunaan;

(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan
disiplin;

(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai
mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan
memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-
bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan

(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,
seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis,
pengakap, puteri Islam dan lain-lain.


Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga
dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga
pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah
selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/
Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa
yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar
Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan
bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini.
Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan
Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks,
Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa
Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran
Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.


Pencapaian Semasa

Di dalam menilai pencapaian semasa, dua matlamat utama Dasar
Pendidikan Kebangsaan yang hendak dilihat ialah:

(a) Sama ada pelaksanaan sistem pendidikan dan kurikulum
yang ada sekarang dapat melahirkan keperluan tenaga rakyat
dalam jangka pendek dan jangka panjang yang diperlukan oleh
negara; dan

(b) Sama ada sistem pendidikan negara telah dapat melahirkan
rakyat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih.
Untuk mengetahui dengan tepat sama ada pelaksanaan Dasar
Pendidikan Kebangsaan telah dapat memenuhi keperluan tenaga
rakyat adalah satu perkara yang sukar. Hakikat ini diakui
oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pendidikan 1974. Antara sebab-sebab yang dinyatakan ialah
kurangnya kajian-kajian dibuat khusus untuk meneliti
kedudukan dan keperluan tenaga rakyat negara ini. Keperluan
tenaga rakyat yang bergantung kepada perkembangan ekonomi
negara memang sukar ditentukan memandangkan perkembangan itu
sangat dipengaruhi oleh iklim ekonomi dunia yang berubah-
ubah. Namun begitu, hasil dari pelaksanaan Dasar Pendidikan
Kebangsaan selama ini, tenaga rakyat yang dihasilkan pada
keseluruhannya dapat memenuhi keperluan gunatenaga negara
kecuali di beberapa bidang tertentu. Selaras dengan Dasar
Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga telah dapat
merapatkan jurang pengenalan bidang pekerjaan mengikut kaum
sama ada di dalam sektor awam ataupun swasta. Di samping itu
ianya telah dapat mengurangkan kadar kemiskinan terutamanya
bagi kaum bumiputera yang berpendidikan.

Mengenai matlamat melahirkan rakyat yang bersatupadu,
berdisiplin dan terlatih, ada tanda-tanda yang menunjukkan
bahawa ini telah tercapai. Misalnya kurikulum yang sama dan
bercorak kebangsaan telah sedikit sebanyak menimbulkan dan
memupuk perasaan dan kesedaran kebangsaan Malaysia di
kalangan mereka yang melalui sistem pendidikan kebangsaan.

Namun demikian, sukar dipastikan sama ada perasaan dan
kesedaran itu telah membuahkan perpaduan. Malah, walaupun
perpaduan wujud sekarang ini, sukar hendak dikatakan bahawa
ia adalah hasil daripada sistem pendidikan semata-mata
kerana perpaduan bukannya bergantung kepada satu faktor
sahaja walaupun sistem pendidikan merupakan satu daripada
faktor- faktor penting yang perlu diambilkira.

Program pendidikan dan latihan akan dimaju dan
dipertingkatkan di bawah Rancangan Malaysia Keenam (91-95)
ini untuk melahirkan tenaga kerja yang berpendidikan, mahir
dan terlatih. Setiap individu akan dilengkapkan dengan
pengetahuan dan kemahiran yang sesuai, tetapi juga untuk
melahirkan warganegara yang bertangungjawab serta mempunyai
nilai-nilai moral dan etika yang kukuh. Keutamaan yang lebih
kepada pendidikan dan latihan kerana ia akan membantu kepada
pencapaian matlamat Dasar Pembangunan Nasional (DPN,)
terutama untuk membasmi kemiskinan dan juga penyusunan
semula masyarakat. Penyediaan lebih banyak peluang
pendidikan dan latihan akan diberikan kepada golongan yang
berpendapatan rendah, ini akan meningkatkan pendapatan dan
peluang mereka untuk mendapat pekerjaan dan selanjutnya
menyumbangkan peningkatan agihan pendapatan.


Penutup

Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung
keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan.
Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara
perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan
secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang
tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan
sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi
keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari
segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih
ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang
keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada
kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan
dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta
secara aktif.


Sumber : Pejabat Perdana Menteri
http://vlib.unitarklj1.edu.my/htm/didik.html

Nota:
Perkembangan/keadaan semasa pendidikan negara selepas Rancangan Malaysia Keenam (91-95) akan diperolehi/dikaji.

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Nota:-


Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada dilandasan yang betul. Intipati utama dalam FTK ini ialah melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual sosial yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERIS. Perlu diingat bahawa tidak ada yang lebih utama antara keempat-empat unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan jasmani lebih penting daripada intelek atau sebaliknya.




Dipetik dari Wikipedia.


Rujuk TERJEMAHAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
http://www.scribd.com/doc/2944319/FALSAFAH-PENDIDIKAN-KEBANGSAAN

Monday, June 15, 2009

Sejarah Pendidikan Negara

Penyata Razak (1956)

Menteri Pelajaran ketika itu Y.B. Dato' Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan dan laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956).
Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957.

Tujuan Penyata Razak

Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah.

Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu.

Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.

Menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, liberal dan progresif.

Mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan.

Mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih , liberal dan progresif.

Memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan.



Sejarah Pendidikan Sebelum Penjajahan

Sistem pendidikan adalah berasaskan sistem pondok yang diadakan di madrasah dan di sekolah-sekolah agama.
Sekolah agama atau madrasah pesat dalam tahun 7920-an hingga 1940-an.
Contohnya, di Pondok Langgar, Pokok Sena di Kedah, Pondok Bukit Mertajam Seberang Prai dan Madrasah Al-Masyhur di Pulau Pinang.
Sekolah agama atau madrasah lebih sistematik daripada sekolah pondok, iaitu dari segi kurikulum (berstruktur), waktu belajar (tetap) dan peralatan (kerusi meja).
Ditubuhkan dengan tujuan melahirkan pelajar yang bemoral tinggi.
Walaubagaimanapun, terdapat kelemahan pada sekolah agama atau madrasah.
Sekolah-sekolah ini tidak dapat melahirkan masyarakat Islam yang moden kerana tiada penekanan kepada Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Sekolah Vernakular

Sekolah vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda dalam pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (P&P) di sekolah.
Terdapat tiga jenis sekolah vernakular, iaitu Melayu, Cina dan Tamil.
Sekolah vernakular Melayu yang pertama sekali ditubuhkan ialah pada tahun 1855, iaitu di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Sekolah Melayu Gelugor, Pulau Pinang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Pada tahun 1872, A.M. Skinner memperkenalkan persekolahan dua sesi, iaitu:
Pagi: Bahasa Melayu, Matematik, Ilmu Alam dan mata pelajaran vokasional
Petang: Bahasa Arab dan al-Qur'an

Kekurangan guru merupakan faktor tiada sekolah menengah Melayu pada waktu itu.
Ini telah mendorong sehingga tertubuhnya dua buah maktab perguruan, iaitu MPSI Tanjung Malim pada tahun 1922 dan MPPM di Melaka pada tahun 1935.

Sekolah vernakular Cina ditubuhkan pada tahun 1815 oleh kumpulan pendakwah baru Persatuan Pendakwah London. Terdapat juga sekolah Cina yang dibuka oleh orang perseorangan.
Sekolah Cina menggunakan bahasa Cina/Mandarin (Kuv Yu) sebagai bahasa pengantar, manakala guru-guru dan buku teks diimpot dari Negara China.
Contoh sekolah vernalular Cina ialah SJK (C) Hua Lian, Tanjung, Perak dan SJK (C) Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan.

Kelas Bahasa Cina diadakan di semua `Free School', iaitu di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, namun ia gagal dan telah dihentikan.
Sekolah vernakular Tamil menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Guru, kurikulum dan buku teks diimpot dari India. Contohnya, SJK (T) Manikavasagam, Tanjung Malim, Perak.

Pada tahun 1925, Kod Buruh berkuatkuasa, di mana semua estet yang mempunyai 10 orang kanak-kanak dalam umur persekolahan diwajib menyediakan sekolah yang bertujuan membasmi buta huruf.

Sekolah Inggeris hanya terdapat di kawasan bandar dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Pendidikan bahasa Inggeris mula diperkenalkan di kalangan anak bangsawan Melayu pada tahun 1905. Penang Free School (1816 ) merupakan sekolah Inggeris pertama yang ditubuhkan. Guru-guru yang mengajar di sekolah Inggeris ini terdiri daripada paderi yang mendapat pendidikan di Eropah.


Sejarah Pendidikan Semasa Penjajahan British

Ciri-ciri sekolah pada zaman penjajahan
:

Setiap jenis sekolah khusus mengikut kaum.
Kurikuium sekolah berbeza.
Lokasi sekolah bagi setiap kaum terpisah.
Bahasa pengantar berlainan, contoh sekolah Cina bahasa pengantarnya ialah bahasa Mandarin.

Pada tahun 1854, Syarikat Hindia Timur mengeluarkan arahan kepada Gabenor Negeri-negeri Selat untuk menyediakan laporan tentang status dan keadaan pendidikan agar tindakan selanjutnya dapat diambil.
Pada tahun 1855, sekolah Melayu dibuka di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan diikuti dengan dua buah sekolah Melayu di Singapura, iaitu di Telok Belanga dan Kampung Gelam.

Pada zaman pemerintahan British di Tanah Melayu, sekolah Inggeris mula diperkenalkan. Contohnya,King Edward VII, Taiping di Perak dan Clifford School, Kuala Lipis, Pahang.

Sekolah pondok masih diteruskan di kalangan penduduk Melayu. Sekolah vokasional Melayu juga telah diadakan untuk melatih kumpulan buruh.
A.M. Skinner, Nazir Sekolah pada tahun 1870-an telah merombak sekolah Melayu dan menjadikannya dua sesi, iaitu sesi pagi untuk pelajaran biasa dan sesi petang untuk pembelajaran agama.

Senario di sekolah-sekolah Cina pula agak berbeza kerana sekolah-sekolah ini dibiayai oleh masyarakat Cina yang terdiri daripada golongan peniaga. Sekolah-sekolah Cina ini berkembang pesat dan diteruskan ke peringkat sekolah menengah.
Di peringkat awal, iaitu pada tahun 1917, sekolah Cina mula mendapat bantuan dari Negara China dan telah menggunakan bahasa "Kuo Yue". Mulai tahun 1920-an, sekolah-sekolah ini diberi pilihan sama ada untuk mendapat bantuan dari Negara China atau kerajaan tempatan.

Sekolah-sekolah Tamil mula berkembang selaras dengan perkembangan dalam sektor perladangan kopi, getah dan kelapa sejak tahun 1870-an. Sekolah Tamil telah diadakan oleh majikan estet dan hanya di peringkat sekolah rendah sahaja.
Kanun Buruh diterima pakai di Negeri-negeri Melayu Bersekutu mulai tahun 1923 dan membuat peruntukkan agar sekolah-sekolah Tamil diberi kemudahan mengajar kepada anak-anak pekerja buruh.

Walaubagaimanapun, sekolah-sekolah lnggeris yang dikendalikan oleh mubaligh Kristian adalah terbuka kepada semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan agama. Sistem pendidikan ini sejak awal lagi telah meninggalkan kesan yang mendalam dari segi meningkatkan persaingan hebat di kalangan semua kaum.

Sejak pertengahan tahun 1870-an, kaedah pengajaran yang digunakan adalah `monitoral system' di mana guru-guru dibawa dari England dan kos perbelanjaan untuk tujuan ini kian meningkat. Justeru, Jawatankuasa Wooley pada tahun 1870-an telah membuat penelitian dan mencadangkan agar alternatit lain diperoleh dan hasil daripada laporan ini, maka sistem "bekerja sambil belajar" telah diperkenalkan.

Dalam aspek latihan pula, sejak awal lagi telah diberikan latihan profesional. Justeru, guru-guru pada awalnya dihantar ke Kolej Raffles dan ke luar negara untuk tujuan latihan. Mulai tahun 1920-an, dua buah institusi tempatan diwujud untuk menyediakan latihan perguruan. Maktab Perguruan Sultan Idris (1922) dan Maktab Latihan Perguruan Perempuan Melayu di Melaka ditubuhkan (1935) untuk melatih guru-guru dari Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Pendudukan Jepun telah banyak menjejaskan perkembangan di dalam bidang pendidikan. Selepas Jepun meninggalkan Tanah Melayu, sekolah dan kolej berfungsi kembali setelah proses membaiki bangunan dan melengkapkan kemudahan serta peralatan sekolah siap selepas tahun 1946.


Sejarah Pendidikan Selepas Kemerdekaan

Terdapat tiga jenis laporan penting yang menjadi asas kepada sejarah pendidikan selepas kemerdekaan, iaitu:

Laporan Barnes (1950)

Disediakan pada tahun 1951 oleh L.J. Barnes.
Laporan ini disediakan dengan tujuan untuk menyiasat kedudukan dan memperbaiki pendidikan orang Melayu.
Terdapat beberapa cadangan di dalam Laporan Barnes ini, iaitu:

Dua jenis sistem sekolah hendaklah ditubuhkan.
Satu jenis sekolah menggunakan bahasa Melavu sebagai bahasa pengantar.
Pelajaran bahasa Cina dan Tamil akan disediakan jika terdapat 15 orang murid atau lebih yang ingin mempelajari bahasa ibunda mereka.
Bahasa Melayu wajib diajar di sekolah Inggeris dan bahasa lnggeris wajib diajar di sekolah Melayu.

Terdapat beberapa syor di dalam Laporan Barnes. Antaranya ialah:

Sekolah dwibahasa diadakan dan bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Sekolah-sekolah vernakular dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil ditukarkan kepada sekolah kebangsaan. Di mana sekolah-sekolah ini akan menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.

Laporan Fenn-Wu (1951)

Diketuai oleh Dr. Fenn (Setiausaha Kerja Bersekutu - Negara China) dan Dr. Wu (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
Mengkaji semula Laporan Barnes serta melayan kehendak masyarakat Cina yang menganggap laporan tersebut bertujuan menghapuskan bahasa dan budaya orang Cina.
Terdapat beberapa cadangan yang dibuat, kemudiannya menjadi asas kepada Ordinan Pelajaran (1952).
Terdapat beberapa syor di dalam Laporan Fenn-Wu. Antaranya ialah:

Sekolah vernakular dibenarkan berfungsi dan menggunakan tiga bahasa, iaitu Melayu, Cina dan Tamil, dan bahasa kebangsaan juga diadakan.
Sekolah-sekolah aliran jenis kebangsaan (Inggeris) dikekalkan.
Sekolah-sekolah vokasional terus dikembangkan untuk menampung keperluan tenaga pekerja mahir yang diperlukan untuk pembangunan negara.


Ordinan Pelajaran (1952)

Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan oleh kerajaan British untuk mengkaji Laporan Barnes dan Fenn-Wu.
Laporan jawatankuasa ini dikenali sebagai Ordinan Pelajaran (1952). Sekolah Kebangsaan - corak sistem persekolahan kebangsaan, iaitu Sekolah vernakular Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem persekolahan kebangsaan.
Bahasa Cina dan Tamil diajar sebagai bahasa ketiga.
Walau bagaimanapun, Ordinan Pelajaran (1952) ini tidak menjadi kenyataan disebabkan masalah kewangan.


Rumusan

Dalam era pendidikan ini, wujud dikotomi akibat kurikulum yang digunakan berbeza antara kaum. Di mana sekolah menggunakan bahasa pengantar masing­-masing dan lokasi sekolah juga berbeza mengikut sektor ekonomi yang diceburi oleh kaum masing-masing. Apa yang jelas pada ketika ini adalah bahawa fikiran dan aspirasi yang berlainan di kalangan masyarakat pada masa itu.

Lihat Penyata Razak 1956.

Dipetik dari: http://gurusejarah.blogspot.com/

Saturday, June 13, 2009

Dengan Nama Allah

Dengan nama Allah yang Maha Kasih dan Sayang...

Berkatilah segala usahaku ini ya Allah. Berilah ilham dan petunjukmu...permudahkanlah dan betulkanlah segala kesilapanku dan jadikanlah ini bekalan untuk akhiratku. Amin.